Setiap rakyat Malaysia pada hari ini, boleh
dikatakan mengetahui akan lagenda yang satu ini, Puteri Gunung Ledang.
Gunung Ledang, sebuah gunung yang terletak di sempadan daerah Muar,
Johor dan Melaka dan kini menjadi lokasi terkenal sebagai destinasi
pelancongan. Namun lagenda mengenai seorang puteri yang cantik jelita
yang menjaga gunung tersebut, yang sehingga kini dipercayai masih
mendiaminya terus menyelubungi gunung tersebut.
Sultan
Mahmud Syah, Sultan Melaka yang kelapan pada ketika itu baru sahaja
kemangkatan permaisurinya, Tun Kecil dan meninggalkan bakal pewaris
takhta, Raja Ahmad yang masih kecil. Hibanya tidak terkata mengenangkan
isteri yang telah tiada meskipun baginda mempunyai isteri-isteri yang
lain, Tun Teja puteri dari Pahang serta Puteri Onang Kening, anakanda
Sultan Mansur Syah dari Kelantan. Tetapi hatinya masih sunyi terasa
seakan Istana Mahligai yang didiaminya itu terlalu kosong dan tidak
berpenghuni. Keadaan ini membuatkan baginda sudah berberapa hari tidak
menjengah Balai Rong Seri untuk bertemu para pembesar negeri. Ini amat
menggusarkan hati para pembesar terutamanya Bendahara Tun Perpatih
Sedang dan Laksamana Hang Tuah, dua pembesar yang amat dihormati dan
berpengaruh di istana Melaka.
Namun
apa yang berlaku pada suatu malam merubah segalanya apabila baginda
bermimpikan seorang perempuan yang terlalu cantik paras rupanya muncul
dan berasyik masyuk dengan baginda. Terlalu luar biasa akan rupa
perempuan itu, membelai dan menggoda baginda sehinggakan baginda seakan
tidak mahu langsung terjaga dari mimpinya. Menjelang matahari memancar
di ufuk timur, segera baginda menitahkan agar dipanggil nujum istana dan
lalu ditanyakan, siapakan perempuan tersebut yang muncul didalam
mimpinya itu. Lalu dari telus tilikan sang nujum, lalu dikhabarkan,
perempuan itu adalah Puteri Gunung Ledang, penjaga Gunung Ledang yang
telah mendiami gunung tersebut sejak ratusan tahun yang lalu. Selama ini
baginda hanya mendengar akan cerita orang mengenai puteri itu tetapi
melalui mimpinya itu, baharulah baginda tahu yang puteri itu terlalu
cantik orangnya.
Titah
baginda menggemparkan istana, Sultan Mahmud berkehendakkan puteri itu
dan dijadikan Permaisuri. Titah itu seakan mustahil tetapi titah
tetaplah titah, yang juga mustahil untuk dibantah. Puteri Gunung Ledang
akan dilamar dan akan menjadi Permaisuri Melaka. Jika benar puteri itu
menerima pinangan baginda, bertambah gahlah Kerajaan Melaka, yang
sultannya beristerikan seorang puteri dari kayangan. Maka, sebuah
rombongan peminangan diadakan, diketuai oleh Laksamana Hang Tuah sendiri
yang pada ketika itu telah pun tua, diiringi oleh Sang Setia serta
ketua orang Inderagiri bernama Tun Mamat, yang dikatakan mahir dengan
selok-belok didalam hutan. Segala hantaran peminangan disiapkan untuk
dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang, dengan harapan puteri itu
bakal menerima pinangan baginda.
Maka
menjelang subuh sesudah rombongan tersebut mengerjakan solat di Masjid
Istana, mereka berangkat menuju ke arah selatan, dimana Gunung Ledang
dikatakan terletak. Setelah berberapa hari berjalan kaki meredah hutan,
rombongan itu yang dianggotai oleh Laksamana Hang Tuah, Sang Setia, Tun
Mamat dan berberapa orang pengiring kini dapat merasakan perubahan cuaca
disekeliling mereka. Udara dirasakan semakin sejuk dan dingin dan
tahulah oleh mereka yang kini mereka sedang menaiki gunung tersebut.
Mungkin
para pengiring yang lain masih gagah untuk meneruskan perjalanan ini
untuk bernerapa hari lagi, tetapi ini menjadi tugas yang agak sukar bagi
Hang Tuah. Hang Tuah ini bukanlah lagi Hang Tuah yang dulu terkenal
dengan kegagahannya, menumpaskan Hang Jebat yan derhaka. Membinasakan
pahlawan Jawa, Taming Sari dan membolot kerisnya yang kini tersisip di
pinggangnya. Hang Tuah ini telah pun dimakan masa, yang kini berada
diambang senja. Terlalu penat dan lemah untuk terus mendaki gunung yang
gagah dan angkuh ini.
Dan
keadaannya ini disedari oleh Tun Mamat. Risau benar dia melihat keadaan
Laksamana tua itu yang kelihatan teramat lelah dan tercungap-cungap.
Akhirnya, pada suatu tempat perhentian di pertengahan jalan ke puncak
gunung, Tun Mamat mengusulkan biarlah dia sahaja dan pengiring yang lain
meneruskan perjalanan. Sementara Sang Setia akan menemani Laksamana di
pertengahan jalan. Tapi, ini terlalu sukar bagi Laksamana ini untuk
menerima usul dari Tun Mamat itu. Diakan Laksamana, selama ini mana
pernah titah dan tugas dari Baginda Sultan gagal disempurnakan? Dia
adalah Hang Tuah, pahlawan teragung Kerajaan Melaka. Tapi...kini,
keadaan dirinya benar-benar menyedarkan dia sebenarnya hanyalah manusia
biasa yang punya kudrat dan fitrah yang terhad.
Dengan
berat Laksamana Hang tuah terpaksa mengiakan akan cadangan Tun Mamat
itu. Laksamana Hang Tuah yang terkulai lemah di banir sebatang pokok
besar , sambil ditemani Sang Setia, memerhatikan dengan rasa kecewa
sebaik Tun Mamat dan pengikut-pengikut yang lainnya mula mengorak
langkah menuju ke puncak gunung hingga hilang dari pandangan mata. Senja
mula menjengah hari. Sudah terasa agak lama berjalan mendaki semenjak
meninggalkan Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia. Dan udara bertambah
menggigit sejuknya. Namun, Tun Mamat mula menyedari kelainan akan
keadaan hutan disekeliling mereka. Mereka tidak lagi dikelilingi oleh
pepohon hutan yang besar mahupun akar rotan yang berselirat disana sini,
sebaliknya, muncul rimbunan pokok bunga yang pelbagai warna dan rupa.
Malah udara yang mereka hirup bukan setakat dingin dan sejuk malah
berbau harum pula.
Tun Mamat merasai keanehan
itu. Mereka tidak lagi berada disebuah hutan belantara sebaliknya
disebuah taman yang terlalu indah. Lagi anehnya, suara merdu nyanyian
bersyair dan gurindam mendayu-dayu disana sini. Namun apa yang
benar-benar menarik perhatian Tun mamat dan engiringnya adalah apa yang
berada nun dihujung taman, berada diatas puncak sebuah bukit kecil.
Terdapat sebuah balai kecil yang menjadi pusat kepada taman tersebut dan
apa yang menariknya tentang balai itu, ia dibina dari tulang manusia
dan berbumbungkan rambut!
Dan kedengaran
suara-suara perempuan sedang bergurau senda dari arah itu, lantas
membawa langkah Tun Mamat menghampirinya. Apabila telah benar-benar
berada diperkarangannya, dapat dilihat seorang perempuan tua bersama
berberapa orang perempuan lain sedang duduk bergurau senda. Tapi, sebaik
menyedari akan seorang lelaki asing menghampiri balai itu, gurau senda
dan bualan mereka terhenti serta merta. Pandangan mata mereka terpaku
kepada kehadiran Tun Mamat yang sedang menanti di muka tangga balai
tersebut.
Tun
Mamat memperkenalkan dirinya sebagai utusan dari Sultan Mahmud Syah,
Sultan Melaka yang membawa titah peminangan dari Baginda untuk Puteri
Gunung Ledang. Sebaik mendengar akan kata-kata Tun Mamat itu, lantas
perempuan tua itu memperkenalkan diri bahawa, beliau adalah Dang Raya
Rani, ketua dayang-dayang istana Puteri Gunung Ledang, dan gadis-gadis
lain yang bersamanya adalah dayang-dayang baginda. Setelah akan
mendengar hajat Tun Mamat itu, Dang Raya Rani meminta untuk berlalu
supaya kehadiran Tun Mamat dapat dipersembahkan kepada Puteri Gunung
Ledang.
Hinggalah
menjelang tengah malam, masih belum muncul Dang Raya Rani itu. Entahkan
ya entahkan tidak, mereka itu dayang-dayang Puteri Gunung Ledang,
perasaan curiga mula bercambah dihati Tun Mamat dan
pengiring-pengiringnya. Tetapi, tiba-tiba, dari celah-celah rimbunan
pohon yang membanjiri taman tersebut, muncul seorang nenek tua. Tapi
nyata, yang ini, bukanlah Dang Raya Rani yang dilihatnya petang tadi.
Sebaliknya nenek tua ini sudah pun bongkok tiga hingga seakan terlipat
belakangnya. Dia berjalan menghampiri Tun Mamat yang mula berdiri di
tangga balai sebaik menyedari kemunculan nenek tua itu.
Tanpa
memberi peluang untuk Tun Mamat memperkenalkan diri, nenek tua itu
seraya berkata yang beliau membawa titah dari Puteri Gunung Ledang, yang
baginda menerima akan lamaran baginda tapi Baginda Sultan perlu
memenuhi syarat-syarat tertentu sebagai hantaran perkahwinan iaitu
"Sebuah
jambatan emas yang dibina dari istana Melaka hinga ke puncak Gunung
Ledang, sebuah jambatan perak yang dibina dari puncak Gunung Ledang
hingga ke istana Melaka, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati
kuman, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda
dan semangkuk darah Raja Muda"
Terbeliak
mata Tun Mamat mendengar akan syarat-syarat tersebut tetapi dia sebaik
mungkin cuba menyembunyikan perasaan itu. Kalau difikir dan diamati,
semua syarat itu semuanya mustahil untuk dipenuhi, dan kalau benar pun,
ia tentu mengambil masa bertahun-tahun untuk disempurnakan...
Sepanjang
malam selepas nenek tua itu menghilangkan diri, sepatutnya setelah
penat seharian mendaki gunung, pastinya mudah untuk melelapkan mata,
mencari kembali tenaga sebelum mendaki turun menjelang subuh esok. Tapi
tidak bagi Tun Mamat. Pelbagai perkara bermain difikirannya, tentang
taman bunga dipuncak gunung, tentang balai tulang itu, tentang Puteri
Gunung Ledang dan tentunya tentang syarat-syarat aneh tersebut....
Entahkan
bila matanya terlelap, Tun Mamat sendiri tidak sedar. Menjelang
matahari mula memancar, Tun Mamat bersama pengiring-pengiring dan barang
hantaran yang sepatutnya dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang,
mula mengorak langkah mendaki turun dari puncak gunung. Mereka akan
bertemu kembali Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia di tempat dimana
mereka ditinggalkan semalam.
Laksamana
Hang Tuah menunduk apabila mengenangkan syarat-syarat yang dinyatakan
oleh Tun Mamat. Dalam diam, Laksamana tahu akan maksud yang tersirat
disebalik syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang. Dan demi itu
juga, Laksamana tua itu juga sedar, dia telah gagal. Gagal menjalankan
titah Baginda Sultan dan ini tidak bermakna lagi bagi dirinya untuk
pulang ke Melaka, menyembah Baginda Sultan. Maka sebaik sahaja rombongan
peminangan itu tiba di kaki Gunung Ledang dimana terletaknya sebatang
anak sungai, Hang Tuah berpesan kepada Tun Mamat
"Seandainya
sungai ini bermuarakan Sungai Melaka, nescaya hamba akan muncul di
Melaka, tapi seandainya tidak, nescaya hamba telah pun tiada.
Sesungguhnnya khabarkan kepada Baginda Sultan hamba telah gagal
menjalankan titah dan berasa amat aib untuk mengadap Baginda"
Setelah
menyerahkan Keris Taming Sari kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali
kepada Sultan Mahmud, Hang Tuah mencecahkan kakinya ke air sungai
tersebut dan meranduk airnya hingga hilang dari pandangan sekelian ahli
rombongan tersebut...Semenjak itu tidak lagi didengari sebarang khabar
berita dari Laksamana yang banyak jasanya itu.




